Sebutir Pilihan

6:43 PG




Isnin, 14 Oktober 2013 - 9.17pm

Langit merah di luar jendela, tidak seindah kelmarin. Apakah ada yang indah sedang digenggam ada sebutir pilihan? Andai manusia itu faham betapa maksud pilihan itu terlalu kasar intinya, apatah lagi jika pilihan itu menjadi suatu keputusan. Terlalu berat bebannya. Aku tidak langsung menyalahkan langit merah itu, yang sedang memancar membakar-bakar sedang baru senja kelmarin wajahnya seri walau sepi. Aku cuma ingin merasakan ketidak adilan bagi manusia, yang merasakan pilihan kelmarin dan hari esok adalah suatu keputusan yang perlu dilunaskan.


Manusia, sifatnya tidak pernah puas perinya. Begitu juga aku, tidak pernah terlepas dari sikap manusia. Aku tidak pernah cuba meragui apa yang telah aku hadapi, sama ada hari kelmarin, hari ini atau mungkin hari esok.  Namun untuk merasakan kesemua keadaan itu perlu ada sebabnya, meskipun sebutir pilihan itu adil bagiku. Siapa yang ingin memilih? Aku tidak ingin. Itu aku.


Hari kelmarin.
Aku meratapi perjalanan dukaku. Walau yang hadir seringkali itu suka, namun duka itu juga yang paling membekas. Aku cuba menyelami rona-rona kehidupanku itu, dengan pandangan hikmah disebaliknya. Iya, aku temui itu secara kasarnya. Namun, cubalah andai hari kelmarin itu terhapus semua pasti luka-luka semalam itu sembuh sediakala. Semalam itu tidak punya pilihan, melainkan menggarisi luka-luka itu supaya menjadi kesakitan yang sempurna.

Hari ini.
Aku menjiwai perjalanan ini, ekoran kisah kelmarin. Apa yang aku rasa hari ini, bukan seperti semalam. Yang terlalu banyak digarisi kepayahan, lalu membekas luka. Namun aku temui hari ini ketidak adilan. Ketidak adilan pada sebuat perkataan, yakni ‘pilihan’. Andai saja manusia itu faham bebanan pilihan itu, pasti manusia itu tidak ingin meniti hari ini. Dalam pilihan aku temui inti kepalsuan, ketidakjujuran, kesakitan malah kedurjanaan. Bukankah dunia selalu saja menipu kita, dengan menghadirkan sebutir pilihan lalu manusia itu menjadi dungu akan perasaan sendiri. Iya, hari ini itu yang aku temui lalu membuatku sakit dan kecewa kerana perlu berhadapan sehari-hari dengan kehampaan itu, kerana aku tidak mampu lari darinya.

Hari esok.
Aku mengimpikan perjalanan esok, akibat tragedi hari ini. Walau aku tahu impi itu kadangkala boleh jadi angan-angan, namun aku sentiasa cuba menerbitkan impi itu benar-benar menjadi kenyataan. Aku impi agar pilihan itu tidak berada di tanganku lagi. Andai saja aku mampu memilih, aku mahu memilih yang pada hakikat kejujuran. Namun andai semua itu sama, adilkah bagiku memilih. Atau mungkin andai semua itu hakikat palsu, di mana kewarasan pilihan? Moga aku tidak jumud menafsirkan pilihan.

Hari kelmarin, aku digarisi luka-luka berdarah. Yang entahkan bila mampu sembuh sempurna. Aku mahu lihat semua itu dengan hikmah, agar hatiku tidak lagi musnah. Aku mahu melupakan segala, walau seperti baru sesaat lalu aku menangisinya. Ketika aku menghadap sebuah buku alam maya tanpa aku toleh kiri dan kanan lagi, aku rasa itulah hakikat sebuah perasaan yang tidak terbendung kerana aku tahu tiada siapa yang mahu mendengar, membaca malah memahaminya. Biarkan rasa kecewa itu membekas di dalam kerat-kerat huruf kecil, di dalamnya terkandung pelbagai rasa; rindu, marah, cemburu, hampa dan benci.
Hari hari, aku mahu bangkit tanpa ada pilihan yang menghampar. Walau aku tahu aku sedang melihat ketidakadilan pada tafsiran pilihan, namun aku seka segala macam dugaan yang sudah mendatang. Berdiri dan berjalan untuk hari esok, tanpa melihar kiri dan kanan namun biarkan aku toleh ke belakang untuk melihat kedurjanaan pilihan yang sudah aku rasakan kelmarin. Aku harap aku gagah hari ini, tanpa mengharap lagi pada yang lain. Lalu aku ingin terbang secepatnya ke hari esok. Hari ini, aku membina kekuatan.
Hari esok, tiada apa yang aku impikan lagi selain sebutir pilihan itu menjadi debu-debu halus yang menerbangkan semua rasa kekesalan. Meski aku harap hari esok adalah sebuah hari kebahagiaan, yang aku bina sendiri namun aku impi semoga kudratku sentiasa ada untuk menempuh hari ini dan menduga dengan hikmah hari kelmarin. Andai hari esok aku tidak punya siapa lagi, aku berdoa aku masih punya Tuhan yang memaut erat aku. Biarkan, segala pilihan itu menjadi kekesalan namun jangan biarkan keputusan itu menjadi kekecewaan.

Hari ini, aku memejam mata. Moga aku pergi dengan rasa lalu yang bakal mati..



You Might Also Like

1 marshmallow komen